Isnin, 12 Julai 2021 | 12:46pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pengawal keselamatan dipenjara tiga tahun, tiga sebatan kerana cabul jururawat

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara tiga tahun dengan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencabul kehormatan seorang jururawat.

Hakim Stephanie Dunstan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Amin Zahari, 29, mengaku bersalah terhadap kesalahan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kuarters Kementerian Kesihatan (KKM) dekay Bukit Padang di sini, pada 5 Julai lalu.

Mohd Amin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul mangsa berusia 34 tahun itu dengan melakukan kekerasan termasuk menumbuk muka dan mencekik mangsa.

Bagaimanapun, dalam kejadian itu, mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada rumah untuk mendapatkan pertolongan jiran.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam serta bengkak sebelum ditempatkan di Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak, Likas, untuk rawatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela

Media sebelum ini melaporkan, tertuduh yang asalnya memecah masuk tempat kejadian dengan niat untuk mencuri, namun bertindak cuba merogol selepas melihat mangsa.

Berita Harian X