Selasa, 6 Julai 2021 | 8:36pm

Empat tidak mengaku samun, bunuh bekas pengarah MARDI

KUALA LUMPUR: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong, dalam kejadian samun di rumahnya, pada November tahun lalu.

Pengawal keselamatan, S Vickeswaran, 23; penghantar surat, P Kogilan, 24; penganggur, M Ravindran, 24, dan juruelektrik, T Sugu, 28, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa dengan niat bersama melakukan pembunuhan, dengan menyebabkan kematian Wan Hassan, 73, dalam kejadian samun di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara jam 3.35 dan 4 pagi, pada 29 November 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ravindran turut dituduh mencederakan isteri Wan Hassan, Sarifah Yusof, 71, menggunakan sebilah parang dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

Selain itu, keempat-empat tertuduh juga didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan menggunakan sebilah parang dan sebatang tukul besi terhadap jurutera, Mohd Muzaffar Zulkifli Martin, 33, dengan anggaran kerugian sebanyak RM38,000.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Tiara Titiwangsa, Setapak di sini antara jam 4.12 dan 5.30 pagi, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai ini untuk pengurusan kes dan tarikh perbicaraan dijadualkan pada Februari tahun depan.

Ketika prosiding hari ini, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dayana Mohamad, manakala kesemua tertuduh wakili peguam Datuk Sheelan Arjunan

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, cedera ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

Berita Harian X