Khamis, 1 Julai 2021 | 9:17pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Lelaki lemas menyelam di Pulau Perhentian

JERTIH: Seorang lelaki lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di kawasan Tokong Laut, Pulau Perhentian, di sini, kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Difahamkan, mangsa, Mohd Abbas Shabki, 22, bersama tiga rakannya dari Kota Bharu, Kelantan, pergi ke pulau itu untuk melakukan aktiviti terbabit sebelum dia dilaporkan hilang pada jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menerima laporan itu sebelum anggota dari Balai Polis Pulau Perhentian bersama penduduk kampung, bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa ditemui terapung di kawasan itu pada kira-kira jam 2.20 petang dan dibawa ke Jeti Maritim Tok Bali sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat jam 4 petang tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita Harian X