Rabu, 23 Jun 2021 | 11:16pm
Anggota bomba menangkap ular yang memasuki baju seorang budak lelaki di Kuarters Balai Polis Ayer Baloi, Pontian tengah hari tadi.
Anggota bomba menangkap ular yang memasuki baju seorang budak lelaki di Kuarters Balai Polis Ayer Baloi, Pontian tengah hari tadi.

Ular tedung masuk baju budak

PONTIAN: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun, terpaksa mengharungi detik cemas hampir setengah jam apabila seekor ular tedung memasuki baju dipakainya, tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengah hari.

Beliau berkata, sebuah jentera bersama tiga anggota diketuai Ketua Operasi, Mohd Noor Parmon, dikejarkan ke lokasi kejadian di Kuarters Balai Polis Ayer Baloi.

Katanya, sejurus tiba di lokasi, pasukan itu mengesan seekor anak ular tedung hitam sepanjang kira-kira 0.5 meter berada di dalam baju mangsa.

"Ular itu dipercayai memasuki baju ketika mangsa baring di ruang pantri di rumah itu. Anggota bomba bertindak menggunting baju kanak-kanak terbabit sebelum menangkap reptilia itu menggunakan penjerut.

"Hidupan berbisa itu kemudian dilepaskan di lokasi jauh daripada perumahan awam. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat 12.56 tengahari," katanya.

Berita Harian X