Sabtu, 19 Jun 2021 | 9:06pm

Perancah besi lebuh raya runtuh, 2 cedera

SUNGAI BULOH: Dua pekerja warga asing cedera selepas perancah besi yang digunakan dalam pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) runtuh petang tadi.

Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an cedera selepas terkena serpihan batu konkrit dan kerangka besi.

Pemaju DASH, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Berhad berkata, kemalangan tidak membabitkan orang awam atau pengguna lebuh raya kerana kejadian berlaku dalam kawasan pembinaan bertutup.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kejadian itu berlaku sekitar pada jam 7.10 malam, sebelum pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 7.13 malam.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba di lokasi jam 7.27 malam.

"Setibanya di lokasi pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa dan mereka berada dalam keadaan selamat dan hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perancah besi dalam kawasan pembinaan bertutup Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) runtuh petang tadi. - Gambar DASH
Perancah besi dalam kawasan pembinaan bertutup Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) runtuh petang tadi. - Gambar DASH

Norazam berkata, kedua-dua mangsa warga Bangladesh itu sedang bekerja di bawah tapak pembinaan setinggi 12 meter itu.

"Semua mangsa berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh menaiki ambulans," katanya.

Norazam memaklumkan tiada mangsa lain terbabit dalam insiden itu dan operasi tamat pada jam 7.34 malam.

Tiada pengguna lebuh raya atau orang awam terbabit dalam kemalangan. - Gambar DASH
Tiada pengguna lebuh raya atau orang awam terbabit dalam kemalangan. - Gambar DASH

Dua pekerja warga asing tercedera dalam kejadian petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Dua pekerja warga asing tercedera dalam kejadian petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X