Jumaat, 18 Jun 2021 | 10:18pm

Polis siasat pengebumian, ambil keterangan hadirin, waris

ALOR SETAR: Polis mengambil keterangan beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berhubung sebuah video yang tular berkaitan perarakan mengiringi mayat di Taman Samudera, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata pihaknya mengesan video berkenaan yang ditular semalam pada jam 5.40 petang melalui laman sosial Facebook.

Beliau berkata, video itu dipercayai dirakam lelaki yang tinggal di kawasan kejiranan di lokasi perarakan itu berlaku.

"Selain itu, butiran si mati yang diiringi dalam kejadian ini sudah diperoleh dan anak si mati juga turut dipanggil untuk dirakam keterangan bersama ahli keluarga yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, ahli keluarga si mati turut menyatakan kehadiran ahli keluarga yang hadir ketika proses pengebumian itu tidak melebihi 10 individu.

Katanya, berikutan itu, pihak pengurusan pengebumian juga turut dipanggil dan dirakam keterangannya.

"Rakaman keterangan saksi yang turut hadir ketika upacara pengebumian itu juga turut diambil.

"Selain itu, hasil semakan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga turut dilakukan bagi mengesahkan sekiranya terdapat sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia mengambil kira dari segi bilangan kehadiran tetamu atau sekiranya terdapat perlanggaran SOP lain," katanya.

Ahmad Shukri berkata, polis sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan akan mengemukakan cadangan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ Peraturan 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

Berita Harian X