Jumaat, 18 Jun 2021 | 10:16pm
Polis memantau pematuhan SOP PKP dalam premis di Taman Nirwana mendapati pekerja berkumpul untuk solat Jumaat. - Gambar PDRM
Polis memantau pematuhan SOP PKP dalam premis di Taman Nirwana mendapati pekerja berkumpul untuk solat Jumaat. - Gambar PDRM

Bapa peserta program realiti keagamaan dikompaun

AMPANG JAYA: Pemilik syarikat pembersihan dan kawalan keselamatan yang juga bapa mentua kepada selebriti wanita, dikenakan kompaun selepas berkumpul untuk solat Jumaat di pejabatnya di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, selepas menerima maklumat 12 lelaki termasuk enam lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 60 tahun, berkumpul pada jam 1.30 petang, di rumah kedai Taman Nirwana.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata premis itu ialah pejabat bagi syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo yang didaftarkan atas tiga syarikat berlainan.

"Mereka ini didapati melakukan kesalahan tidak menjaga penjarakan fizikal, berkumpul serta mengadakan aktiviti tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semua warga tempatan dikenakan kompaun atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), manakala semua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemilik syarikat ialah bapa dan mentua pasangan selebriti yang sebelum ini pernah dikenakan tindakan kerana melanggar SOP.

Mohamad Farouk berkata, mereka melanggar peruntukan Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempat-Tempat Jangkitan.) (No.3) 2021.

"Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang masih berkuat kuasa supaya matlamat kerajaan untuk memutuskan rantaian penyakit COVID-19 dapat dilaksanakan," katanya.

Berita Harian X