Jumaat, 18 Jun 2021 | 11:54am
30 PATI Indonesia ditahan dalam Op Benteng di pantai Kampung Punggai, Pengerang, Johor, awal pagi tadi. Gambar ihsan ATM
30 PATI Indonesia ditahan dalam Op Benteng di pantai Kampung Punggai, Pengerang, Johor, awal pagi tadi. Gambar ihsan ATM

30 PATI ditahan di Johor

KUALA LUMPUR: Cubaan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini dengan menaiki sebuah bot gagal selepas ditangkap menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di pantai Kampung Punggai, Pengerang, Johor, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan, berkata Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum itu mengesan kehadiran bot asing.

"SWASLA yang yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam mengesan pergerakan bot mencurigakan menghampiri pesisir pantai Kampung Punggai pada jam 3 pagi, tadi.

"Maklumat itu disahkan sistem pengawasan radar kenderaan perisai AV8 Gempita serta anggota di pos pemerhati sebelum pasukan Quick Reaction Force (QRF) diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan," katanya.

Dalam serbuan jam 3.45 pagi itu, seramai 30 PATI, kesemuanya lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 46 tahun ditahan.

"Bagaimanapun, bot digunakan membawa mereka sempat berpatah balik dan meloloskan diri.

"Kesemua PATI ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen, Setia Tropika, Kempas," kata markas itu.

Sejumlah mata wang Malaysia dan Indonesia serta 20 telefon bimbit dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM12,203.

Satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan QRF diatur gerak bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

Berita Harian X