Khamis, 17 Jun 2021 | 9:29pm
Seramai 32 orang dikompaun RM1,500 seorang kerana didapati bermain badminton secara beramai-ramai di sebuah dewan gelanggang badminton swasta di Jalan Skudai, Johor Bahru, petang kelmarin. NSTP/Ihsan PDRM
Seramai 32 orang dikompaun RM1,500 seorang kerana didapati bermain badminton secara beramai-ramai di sebuah dewan gelanggang badminton swasta di Jalan Skudai, Johor Bahru, petang kelmarin. NSTP/Ihsan PDRM

32 orang main badminton di dewan dikompaun RM1,500 seorang

JOHOR BAHRU: Seramai 32 orang masing-masing dikompaun RM1,500 kerana didapati bermain badminton secara beramai-ramai di sebuah dewan gelanggang badminton swasta di Jalan Skudai, di sini, petang kelmarin.

Dalam serbuan jam 5.35 petang yang dilakukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) itu, pemilik dewan gelanggang badminton berkenaan turut dikompaun RM2,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata serbuan itu dibuat hasil makluman awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 32 orang berada di dewan gelanggang badminton itu sedang bermain badminton.

"Sedangkan aktiviti sukan secara beramai-ramai itu tidak dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKP 3.0.

"Semua 32 orang itu dibawa ke IPD JBU dengan semua pemain dikeluarkan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana ingkar SOP PKP 3.0 termasuk tidak mematuhi penjarakan fizikal.

"Pemilik dewan pula dikompaun RM2,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rupiah berkata, semua pemain dan pemilik dewan itu dikompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Nilai keseluruhan kompaun adalah RM48,500. Semua mereka dibebaskan tanpa syarat sebaik kompaun dikeluarkan dan dinasihatkan menjelaskan bayaran kompaun di Pejabat Kesihatan Johor Bahru," katanya.

Berita Harian X