Khamis, 17 Jun 2021 | 12:41pm

Juruukur dituduh ambil rasuah bocor sebut harga

KUALA LUMPUR: Seorang penolong juruukur bahan Majlis Perbandaran Selayang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 bagi membocorkan maklumat sebut harga anggaran jabatan, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, pertama dan kedua, Tengku Kamarul didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM5,600 ke dalam akaun simpanannya daripada seorang lelaki.

Wang itu diketahui ada kaitan dengan tugas rasminya untuk membocorkan maklumat sebut harga anggaran jabatan kepada lelaki berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kuala Lumpur di Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini, masing-masing pada 22 April dan 16 Ogos 2017.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Tengku Kamarul juga dituduh atas dua pertuduhan pilihan sama dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mohd Alif turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Chris Kooi Wei Kit, tidak membantah permohonan itu dan bersetuju dengan syarat tambahan ditetapkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 bagi membocorkan maklumat sebut harga anggaran tender jabatan, empat tahun lalu. - NSTP/Fathil Asri
Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 bagi membocorkan maklumat sebut harga anggaran tender jabatan, empat tahun lalu. - NSTP/Fathil Asri
Berita Harian X