Sabtu, 12 Jun 2021 | 12:58pm

PKP 3.0 dilanjutkan, polis ambil tindakan tegas

KUALA LUMPUR: Polis akan melakukan pemeriksaan ketat di setiap sekatan jalan raya (SJR) dan lapangan bagi memastikan setiap individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

PKP 3.0 yang sepatutnya tamat Isnin ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi hingga 28 Jun ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak melanggar SOP ditetapkan, akan ambil tindakan tegas.

"Seperti di SJR, hanya mereka yang mempunyai dokumen perjalanan daripada pihak berkaitan dibenarkan melepasi sekatan itu.

"Jika dikesan ada yang cuba melanggar undang-undang, kita ambil tindakan tegas.

"Penguatkuasaan dan pemantauan di lapangan juga akan dilakukan secara ketat bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal secara menyeluruh," katanya pada BH, hari ini.

Ditanya penambahan SJR dan anggota penguat kuasa di lapangan dalam masa terdekat susulan PKP 3.0 dilanjutkan, Zainal berkata, setakat ini pihaknya tidak merancang untuk berbuat demikian.

"Namun, jika kerajaan ada mengeluarkan arahan baharu untuk tambah SJR atau anggota berkenaan, kita akan atur untuk memenuhi permintaan sedemikian.

"Pada masa ini, adalah amat penting rakyat patuh SOP PKP 3.0 yang sedang dikuat kuasa," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan mempertingkat pemantauan dan menambah bilangan SJR khususnya di Selangor serta ibu negara bermula 4 Jun lalu susulan bilangan kenderaan di sesetengah lokasi masih tidak berkurangan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dipetik berkata jumlah SJR yang diadakan mungkin melebihi 1,000 pada setiap hari, berbanding 930 SJR dan Ops Benteng yang ada sekarang.

Berita Harian X