Rabu, 9 Jun 2021 | 12:47pm
 Antara PATI yang ditahan dalam empat siri tangkapan, kelmarin dan awal pagi semalam. - Foto ihsan ATM
Antara PATI yang ditahan dalam empat siri tangkapan, kelmarin dan awal pagi semalam. - Foto ihsan ATM

25 PATI dicekup di pesisir pantai

KUALA LUMPUR: Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap menerusi Op Benteng di pesisir Pantai Sedili Kecil dan Pantai Hotel Emerald, Kampung Punggai, Kota Tinggi, Johor dalam empat siri tangkapan, kelmarin dan awal pagi semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan, hari ini berkata tangkapan dilakukan pasukan Quick Reaction Team (QRF) Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

"Kelmarin, pasukan rondaan mengesan pergerakan sekumpulan individu mencurigakan di pesisir Pantai Sedeli Kecil, dan pasukan QRF digerakkan dengan pantas ke lokasi.

"Hasilnya, seramai 17 PATI ditahan pada jam 6.20 petang.

"Hasil penjejakan yang dilakukan membawa kepada tangkapan dua lagi PATI sekitar jam 8.50 malam di kawasan hutan berhampiran," katanya.

Menurut kenyataan itu, seorang lagi PATI ditahan pada jam 3 pagi semalam di lokasi sama.

"Pada jam 5.15 pagi (semalam), satu maklumat diterima daripada pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota Pos Pemerhati yang mengesan pergerakan sebuah bot mencurigakan menghampiri pesisir Pantai Hotel Emerald, Kampung Punggai.

"Bertindak atas maklumat itu, pasukan QRF melakukan serbuan pada jam 5.45 pagi dan menahan lima PATI, namun bot yang digunakan berpatah balik," katanya.

Katanya, semua PATI yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia berusia 21 hingga 46 tahun yang dipercayai baru tiba di negara ini melalui laluan tidak sah.

"Kita turut merampas mata wang Malaysia dan Indonesia, telefon bimbit dan barang kemas dianggarkan keseluruhan bernilai RM12,606.

"Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

Berita Harian X