Ahad, 6 Jun 2021 | 12:34pm

Pelajar universiti rugi RM10,600

KUANTAN: Hasrat seorang pelajar universiti di Bera untuk mendapat pendapatan sampingan tidak kesampaian malah terpaksa menanggung kerugian RM10,600 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan kerja sampingan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula Jumaat lalu apabila mangsa lelaki berusia 23 tahun melihat iklan tawaran kerja sambilan di Facebook.

"Mangsa kemudian berurusan dengan seorang suspek sebelum diminta membuka akaun E-JOB. Mangsa diminta membayar sejumlah wang untuk meningkatkan harga jualan barang yang mahu dijual," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa membuat lima kali pindahan wang berjumlah RM10,600 ke dalam akaun yang diberikan, namun suspek masih lagi meminta wang untuk tujuan sama.

Dalam kejadian berasingan, seorang kerani kerugian RM8,750 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 46 tahun itu dihubungi seorang individu kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa mangsa ada tunggakan cukai sebanyak RM38,000.

"Mangsa menafikan ada tunggakan cukai berkenaan sebelum panggilan berkenaan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan. Mangsa diminta pula membuat laporan ke pihak Bank Negara.

"Mangsa diberikan satu aplikasi sebelum dia mengisi semua butiran akaun bank termasuk nombor TAC yang diberikan kepadanya. Bagaimapun selepas itu, mangsa menyemak baki akaun banknya dan mendapat wang sebanyak RM8,750 lesap. Mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam," katanya.

Berita Harian X