X
Sabtu, 5 Jun 2021 | 5:33pm
Bot membawa sekumpulan pelarian Rohingya ke Pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Aceh, Indonesia, kelmarin. NSTP/Ihsan NTF
Bot membawa sekumpulan pelarian Rohingya ke Pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Aceh, Indonesia, kelmarin. NSTP/Ihsan NTF
Sebahagian daripada 81 pelarian Rohingya termasuk 11 kanak-kanak yang terdampar di Pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Aceh, Indonesia, kelmarin. NSTP/Ihsan NTF
Sebahagian daripada 81 pelarian Rohingya termasuk 11 kanak-kanak yang terdampar di Pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Aceh, Indonesia, kelmarin. NSTP/Ihsan NTF

Kawalan sempadan negara diperketatkan

KUALA LUMPUR: Pasukan National Task Force (NTF) memperketatkan kawalan sempadan negara susulan laporan media Indonesia, semalam mengenai kehadiran 81 pelarian etnik Rohingya yang dikesan di sekitar pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Aceh Timur.

Laporan itu menyebut, kumpulan pelarian Rohingya terdiri daripada 70 dewasa dan 11 kanak-kanak berjaya mendarat pada malam atau awal pagi kelmarin dengan jumlah asalnya 90 orang namun lapan dikatakan meninggal dunia, manakala seorang hilang di laut.

NTF dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya terlebih dahulu menerima dua laporan pergerakan bot dan 'mother boat' (bot induk) Rohingya berlepas dari Kem Cox's Bazar, Bangladesh pada Februari dan April lalu dan memantau rapat sebarang maklumat berkaitan.

Katanya, berdasarkan analisis dan risikan semasa, NTF percaya terdapat percanggahan maklumat setelah dibuat penilaian pendaratan terbaharu ini dengan fakta, sejarah dan trend atau modus operandi sindiket penyeludupan migran Rohingya ke perairan Malaysia-Indonesia.

"Merujuk kembali kes pendaratan Rohingya pada tahun 2019 dan 2020, etnik Rohingya dibawa secara kecil-kecilan ke Malaysia menggunakan bot-bot nelayan yang dipercayai menerima upah daripada sindiket untuk membawa masuk pelarian dari sebuah bot besar di perairan antarabangsa.

"Sehubungan itu, hasil maklumat risikan NTF percaya pendaratan ini juga menggunakan modus operandi yang hampir sama dan masih terdapat sebuah 'mother boat' yang berada di perairan antarabangsa.

"Bot itu berkemungkinan melepaskan sebahagian Rohingya untuk mendarat di Acheh Timur dan bakinya masih menunggu masa untuk dibawa mendarat ke Malaysia.

"Pendaratan di Aceh Timur itu dilihat sebagai satu taktik mengalih perhatian yang dilakukan sindiket bagi mengabui pergerakan memasuki Malaysia secara runcit menggunakan bot nelayan tempatan atau asing tanpa dikesan pihak berkuasa," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga percaya keadaan tubuh pelarian yang kelihatan sihat dan segar ketika ditemui penduduk setempat dipercayai menerima bekalan dan bantuan sindiket dari atas 'mother boat' selain mempunyai telefon bimbit sendiri.

"Perkara itu menunjukkan mereka dijaga baik sebelum mendarat ke destinasi yang dipilih. Maklumat oleh mangsa yang mengatakan bot pelarian Rohingya ini 'ditolak' untuk memasuki perairan Malaysia adalah tidak benar.

"Ini memandangkan tiada sebarang pertemuan berlaku di antara pihak berkuasa Malaysia dengan bot terbabit, sekali gus menyangkal maklumat yang diberikan oleh mangsa itu," katanya.

Sehubungan itu, katanya NTF melalui Operasi Benteng (Op Benteng) meningkatkan kesiagaan dan mengatur gerak aset maritim berdekatan perairan antarabangsa serta pemantauan radar dan aset udara bagi mengesan sebarang pergerakan bot yang mencurigakan.

"NTF juga akan meningkatkan pemantauan sebarang cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari 'exit point' Tanjung Balai, Medan dan Dumai ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang Pantai Barat Semenanjung.

"NTF tidak akan berkompromi dengan sindiket dan pengkhianat negara yang terbabit dengan penyeludupan pelarian Rohingya dan PATI ke negara ini dan tindakan keras akan dikenakan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007," katanya.

Tambah kenyataan itu, NTF bersama 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan terus melaksanakan operasi bersepadu memperketatkan kawalan sempadan negara dalam mengekang kemasukan imigran disamping mengawal penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara ini.

NTF juga mengajak seluruh rakyat Malaysia bertindak sebagai `mata dan telinga' kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan kemasukan PATI melalui titik pendaratan haram dan lorong tikus ke talian Hotline NTF 011- 6251 1223.

Berita Harian X