Sabtu, 5 Jun 2021 | 8:45am

Kilang vape dikompaun RM10,000

SHAH ALAM: Polis Shah Alam mengenakan kompaun ke atas dua kilang di sini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh fasa pertama yang bermula 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata setiap kilang masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 ketika operasi pemantauan bermula 1 Jun sehingga semalam.

"Kilang pertama yang dikompaun adalah kilang memproses rokok elektronik (vape) dan memang tidak dibenarkan beroperasi kerana bukan industri utama tetapi ingkar masih beroperasi seperti biasa.

"Kedua, kilang memproses makanan dan perkhidmatan pengangkutan. Ketika serbuan dibuat didapati kilang terbabit mempunyai jumlah pekerja melebihi 60 peratus yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekatan pergerakan penuh fasa pertama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Eco Ardence dan Sun Suria, Setia Alam, di sini semalam.

Mengulas mengenai keseluruhan pemantauan katanya, sehingga kini pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 23 kilang dan empat tapak bina dalam kawasan pentadbiran IPD Shah Alam.

"Pemantauan pematuhan di tapak pembinaan serta kilang di Shah Alam dijalankan secara mengejut bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi oleh pihak pemaju dan kilang.

"Ini selaras dengan ketetapan pengoperasian dan pembinaan di kilang dan tapak projek hanya boleh dijalankan apabila mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya.

Beliau berkata, setakat ini sejumlah 17 kompauan dikeluarkan di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) statik iaitu SJR Plaza Tol Bukit Jelutong dan SJR Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26.

"Antara kesalahan yang kita dapati adalah melebihi kapasiti kenderaan dengan nilai kompauan dikenakan RM2,000 setiap penumpang," katanya.

Berita Harian X