Jumaat, 4 Jun 2021 | 3:56pm

Juruteknik kilang tak mengaku rogol anak

BUTTERWORTH: Seorang juruteknik kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 13 tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya sejak 12 tahun lalu.

Tertuduh berusia 45 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhayati Mohamad Yunus.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2009 hingga 2020.

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan.

Selain itu, bagi kesalahan amang seksual pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Syeqal berkata, mahkamah tidak memberikan ikat jamin kerana tertuduh tinggal bersama mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, tertuduh dijatuhi hukuman 18 bulan penjara dan dua sebatan selepas mengaku bersalah mencabul anak perempuannya mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Media sebelum ini melaporkan penderitaan dialami gadis berusia 18 tahun yang menjadi mangsa bapa kandungnya sejak dia berusia enam tahun.

Ia terbongkar selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada 25 Mei lalu.

Mangsa memberitahu dia selalu dicabul dan dipaksa melakukan hubungan seks, selain pernah diliwat bapanya.

Susulan itu, polis menahan bapa mangsa pada Jumaat lalu untuk siasatan lanjut.

 Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas 13 tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya sejak 12 tahun lalu. - NSTP/ DANIAL SAAD
Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas 13 tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya sejak 12 tahun lalu. - NSTP/ DANIAL SAAD
Berita Harian X