X
Rabu, 2 Jun 2021 | 4:58pm
JAS mengeluarkan notis penahanan operasi kelengkapan ke atas sebuah kilang sarung tangan getah di Beranang, Hulu Langat kerana disyaki menyebabkan pencemaran longkang awam, semalam. - Foto Facebook JAS
JAS mengeluarkan notis penahanan operasi kelengkapan ke atas sebuah kilang sarung tangan getah di Beranang, Hulu Langat kerana disyaki menyebabkan pencemaran longkang awam, semalam. - Foto Facebook JAS

JAS tahan operasi kilang sarung tangan

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan perintah tahan operasi ke atas sebuah kilang sarung tangan getah di Beranang, Hulu Langat, di sini, selepas disyaki menyebabkan pencemaran longkang awam, semalam.

Kilang itu diserbu sepasukan anggota JAS Selangor dalam Operasi Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menerusi akaun Facebook (FB), hari ini memaklumkan serbuan ke atas kilang terbabit dilakukan susulan aduan pencemaran yang diterima oleh pihak JAS.

"Kilang itu disyaki membuang air cucian dan bilasan acuan sarung tangan bercampur asid ke longkang awam tanpa dirawat melalui Sistem Pengolahan Efluen (SPE).

"Penahanan operasi kelengkapan bagi menghentikan pencemaran dilakukan mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Sementara itu, JAS melalui FB meminta pihak industri dan sektor yang dibenarkan menjalankan operasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0 supaya mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan semua peraturan di bawahnya.

Berita Harian X