Khamis, 27 Mei 2021 | 7:26pm

Tiga terselamat, pokok tumbang dekat Muzium Negara

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki, termasuk pemandu dan penumpang kereta serta penunggang motosikal terselamat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Travers menghala ke pusat bandar di hadapan Muzium Negara, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.05 petang itu dipercayai akibat hujan dan angin kencang sehingga menyebabkan pokok berkenaan tumbang.

Keadaan kereta yang dihempap pokok tumbang di hadapan Muzium Negara. - Foto ihsan polis
Keadaan kereta yang dihempap pokok tumbang di hadapan Muzium Negara. - Foto ihsan polis

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kejadian itu membabitkan tiga lelaki, termasuk dua warga asing.

Beliau berkata, akibat kejadian berkenaan penunggang motosikal warga tempatan cedera ringan di bahagian kaki, manakala pemandu dan penumpang kereta warga asing tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang cedera sudah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Kerja pembersihan jalan masih giat dijalankan oleh pihak berwajib dan keadaan trafik dijangka lancar semula kira-kira jam 7 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.21 petang.

Sejurus selepas itu, sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebatang pokok menghempap kereta Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha LC 135 yang mengakibatkan penunggangnya cedera ringan dan kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Individu di dalam kereta pula keluar sendiri tanpa mengalami sebarang kecederaan. Anggota bomba kemudian melakukan kerja memotong dan membersihkan pokok yang tumbang," katanya.

Berita Harian X