Jumaat, 21 Mei 2021 | 3:42pm
Polis menunjukkan rampasan dadah jenis syabu dan heroin, sepucuk pistol berserta peluru dari serbuan di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah, Bukit Mertajam. - Foto PDRM
Polis menunjukkan rampasan dadah jenis syabu dan heroin, sepucuk pistol berserta peluru dari serbuan di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah, Bukit Mertajam. - Foto PDRM

Polis bongkar premis proses dadah

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dan membongkar sindiket pengedaran syabu dan heroin bernilai jutaan ringgit dalam serbuan di rumah kedai di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah, di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan, berkata lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu ditahan di Jalan Bertam, Kepala Batas kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Katanya, lelaki berkenaan membawa polis ke rumah kedai dan anggotanya menemui sepucuk pistol buatan Amerika Syarikat, bersama dua kelopak peluru.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas premis itu turut menemui 97,140 gram (g) dadah dipercayai syabu dan 190 g heroin, pelbagai cecair kimia bagi menghasilkan dadah serta peralatan dan mesin pembungkus dadah.

"Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

"Polis turut merampas sepucuk pistol beretta USA Corp Nombor Siri BER656482 berserta dua kelopak mengandungi 15 butir peluru jenama LUCER 9Milimeter (MM)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Polis merampas sepucuk pistol dan 15 butir peluru dari rumah kedai di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah. - Foto PDRM
Polis merampas sepucuk pistol dan 15 butir peluru dari rumah kedai di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah. - Foto PDRM

Sahabudin berkata, sindiket itu bergiat aktif menghasilkan dan mengedar dadah sejak Januari lalu untuk pasaran tempatan.

"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif.

"Polis menahan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bagi kesalahan memiliki senjata api suspek turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1980," katanya.

Sahabudin berkata, suspek juga ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes melarikan orang di Butterworth pada 1 Mei lalu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X