Rabu, 19 Mei 2021 | 2:41pm
 Sindiket ini akan memperdayakan mangsa terutama daripada kalangan pelajar IPT sehingga mereka sanggup berkongsi video dan gambar lucah mereka. - Foto hiasan
Sindiket ini akan memperdayakan mangsa terutama daripada kalangan pelajar IPT sehingga mereka sanggup berkongsi video dan gambar lucah mereka. - Foto hiasan

'Jaga maruah diri, jangan mudah kongsi gambar lucah'

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai tidak terpedaya dengan helah sindiket dan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan alasan kasih sayang melalui media sosial untuk mendapatkan video dan gambar lucah.

Taktik itu sebenarnya adalah helah untuk suspek melakukan pemerasan selepas mempunyai video dan gambar lucah mangsa yang menjadi sasaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya sudah menerima 21 laporan berhubung aktiviti pemerasan video dan gambar lucah sejak Januari lalu.

"Daripada jumlah itu terdapat dua kes sudah dituduh di mahkamah manakala 19 lagi masih dalam siasatan. Seramai 12 daripada mangsa kes berkenaan juga didapati sudah membuat pembayaran kepada suspek sehingga mengakibatkan kerugian RM33,788.88," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. - Foto fail NSTP

Mohamad Fakhrudin berkata, sebahagian besar kes adalah membabitkan sindiket yang memperdaya mangsa di media sosial selain suspek yang terdiri daripada individu dikenali mangsa sendiri termasuk bekas suami dan teman lelaki.

"Siasatan juga mendapati sindiket menggunakan modus operandi dengan memperdaya mangsa tanpa mengira jantina di laman sosial seperti WeChat, Facebook, WhatsApp, MiChat dan lain-lain platform.

"Sindiket ini akan memperdayakan mangsa terutama daripada kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sehingga mereka sanggup berkongsi video dan gambar lucah mereka," katanya.

Sindiket akan merekod video serta gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut untuk menyebarkan bahan berkenaan. Seterusnya ahli sindiket akan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan sekiranya pembayaran tidak dibuat, gambar dan video lucah itu akan disebar dalam media sosial selain dihantar kepada ahli keluarga dan rakan mangsa.

Justeru polis menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya atau tertipu dengan muslihat sedemikian selain memelihara maruah diri masing-masing.

Berita Harian X