Sabtu, 15 Mei 2021 | 9:56pm
KENDERAAN yang dinaiki mangsa terbabas melanggar sebuah lori di Kilometer 179 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan petang tadi.
KENDERAAN yang dinaiki mangsa terbabas melanggar sebuah lori di Kilometer 179 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan petang tadi.

Pelajar maut selepas Audi RS terbabas langgar lori

BAGAN SERAI: Seorang pelajar institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) maut, manakala rakannya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar lori di Kilometer 179 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata dalam kejadian jam 4.05 petang tadi, mangsa, Muhammad Aiman Mazman, 26, mati di tempat kejadian, manakala rakannya, Muhamad Faris Shohaimi, 23, cedera parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Audi RS7 dipandu mangsa dari arah Sungai Petani, Kedah menghala ke Kuala Lumpur terbabas dan melanggar pembahagi jalan, sebelum merempuh lori di kiri laluan.

"Akibat kejadian itu mangsa yang juga pemandu berasal dari Kuala Lumpur, disahkan maut di lokasi dan mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat.

"Rakannya yang parah serta pemandu lori berusia 55 tahun yang turut cedera, dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dihubungi petang tadi.

Dalam pada itu, Mazuki meminta orang awam agar tidak menular gambar kejadian yang menyayat hati bagi menghormati mangsa dan waris keluarga.

Berita Harian X