Sabtu, 15 Mei 2021 | 6:24pm
 Azhar (kanan) melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di Plaza Tol Lunas bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP. - NSTP/ ZULIATY ZULKIFFLI
Azhar (kanan) melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di Plaza Tol Lunas bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP. - NSTP/ ZULIATY ZULKIFFLI

Polis siasat artis rentas negeri

KULIM: Polis menjalankan siasatan terhadap seorang artis yang didakwa pulang ke kampungnya di Kulim dari Kuala Lumpur menggunakan surat merentas negeri diperoleh ibunya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata beliau mengarahkan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menjalankan siasatan berhubung perkara itu selepas maklumat mendedahkan artis wanita terbabit didakwa pulang ke kampung menggunakan surat kebenaran merentas negeri pasangan jarak jauh disebabkan ibu dan bapanya tinggal berjauhan.

"Setakat ini siasatan masih dijalankan dan kita akan tengok adakah benar apa yang tular di laman sosial Facebook (FB) itu.

"Sekiranya ada unsur yang menyalahi, tindakan tegas akan diambil terhadap artis terbabit," katanya selepas melakukan pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya di Plaza Tol Lunas, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, penyanyi, Masya Masyitah atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff memohon maaf dan memberi penjelasan mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa untuk pulang ke Kulim, Kedah atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

Selepas mendapat pelepasan rentas negeri yang dimohon ibunya, secara tidak langsung dia juga berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Kulim selepas mereka terpisah dengan bapa serta adik-beradik berikutan tidak boleh merentas negeri pada sambutan raya tahun lalu.

Bagaimanapun, penjelasan artis wanita itu menimbulkan rasa kurang senang warganet yang mendakwa artis itu mengambil kesempatan merentas negeri menggunakan tiket kebenaran ibunya.

Azhar berkata, pihaknya akan memaklumkan tindakan lanjut selepas siasatan selesai dilakukan.

Berita Harian X