Selasa, 11 Mei 2021 | 11:43pm
 Mohamad Fakhrudin pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Mohamad Fakhrudin pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Bayi sembilan bulan maut diliwat suami pengasuh

PETALING JAYA: Bayi lelaki berusia sembilan bulan yang meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya pada 27 April lalu, disahkan diliwat suami pengasuhnya sehingga mengalami kesan pendarahan dan koyakan di bahagian dubur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kematian dipercayai akibat sesak nafas kerana ditekup di mulut menggunakan tangan oleh suspek lelaki berusia 36 tahun, yang berada di bawah pengaruh dadah.

"Ketika kejadian suspek wanita sedang mengemas ruang tamu dan membiarkan suaminya bersendirian dengan bayi itu dalam bilik dikunci selama dua jam, sebelum menemukan bayi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh lelaki itu yang mengaku pengasuh bayi terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Katanya, selain beberapa kesan koyakan pada dubur mangsa dipercayai akibat dimasukkan benda tumpul, bedah siasat turut mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dipercayai ditekup menggunakan tangan.

Susulan laporan diterima daripada seorang pegawai perubatan, polis menahan pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 36 tahun yang disahkan positif dadah jenis syabu di kediaman mereka pada 29 April lalu.

Katanya, suspek lelaki disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, manakala isterinya akan dijadikan saksi pendakwaan dan dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, polis menahan seorang pelajar lelaki warga tempatan berusia 24 tahun disyaki membunuh rakannya di tempat letak kenderaan Bandar Sunway, Subang Jaya, Ahad lalu.

Beliau berkata, mayat mangsa berusia 24 tahun, ditemukan dalam keadaan penuh kesan tikaman pada Khamis lalu, di kawasan pembinaan bersebelahan bangunan kediaman milik suspek di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tangan suspek cedera, dipercayai akibat pergelutan dengan si mati, menyebabkan suspek menerima 100 jahitan di sebuah pusat perubatan swasta.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja tertahydrocannabinol dan polis berjaya menemukan pakaian milik suspek berlumuran darah, dipercayai dipakai ketika kejadian," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham berhubung hasil jualan dadah serta masalah hutang.

Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut. – BERNAMA

Berita Harian X