Isnin, 10 Mei 2021 | 12:58pm
 Sebuah kilang membuat sarung tangan di kawasan perindustrian Meru dikenakan tiga kompaun, diarah henti operasi oleh JAS Selangor menerusi Ops Sahur awal pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan FB Menteri KASA
Sebuah kilang membuat sarung tangan di kawasan perindustrian Meru dikenakan tiga kompaun, diarah henti operasi oleh JAS Selangor menerusi Ops Sahur awal pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan FB Menteri KASA

Kilang sarung tangan dikenakan tiga kompaun, diarah henti operasi

KLANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan tiga kompaun terhadap sebuah kilang membuat sarung tangan di kawasan perindustrian Meru menerusi satu serbuan awal pagi, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, menerusi serbuan Ops Sahur yang dijalankan pada jam 1 pagi itu, premis berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Hasil pemeriksaan mendapati, loji rawatan air sisa kilang itu tidak berfungsi mengikut kapasiti dibina menyebabkan air sisa yang terhasil melebihi keupayaan akibat pengeluaran berlebihan.

"Kami juga mendapati loji berkenaan tidak diselia dan dipantau oleh individu yang kompeten ketika serbuan. Justeru, kilang berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kilang berkenaan kemudian diarah henti operasi (tutup) dan perlu melaksanakan kerja pembaikan.

Katanya, kilang itu akan dibenarkan kembali beroperasi selepas pihak JAS berpuas hati dengan kerja pembaikan seperti yang diarahkan.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata, kilang terbabit mula beroperasi pada tahun lalu dan mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, ketika serbuan dijalankan terdapat beberapa pekerja dan penyelia syif malam bertugas.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan menunggu keputusan analisis kimia sampel air sisa kilang yang dijangka diperoleh minggu hadapan," katanya.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi Facebook rasminya berkongsi kejayaan JAS Selangor.

"JAS tahan operasi kelengkapan sebuah kilang membuat sarung tangan dalam Ops Sahur di kawasan perindustrian Meru, Klang.

"Tiga kompaun dikenakan ke atas kilang tersebut kerana pelbagai kesalahan dan kegagalan mematuhi kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," katanya.

Berita Harian X