Ahad, 9 Mei 2021 | 1:08pm

Lelaki Myanmar maut ditikam

KULAI: Seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai ditikam selepas berlaku pergaduhan dalam kejadian di Jalan Senai Jaya 2, Taman Senai Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata pihaknya mendapat makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.40 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Senai bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bergegas ke lokasi kejadian.

"Seorang lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan, manakala sebilah pisau pemotong sayur pula ada di sisinya.

"Pemeriksaan awal pada badan mangsa berusia lingkungan 30-an mendapati ada kesan kecederaan akibat ditikam di bahagian belakang leher, bahu kanan dan kiri, dada kanan serta perut.

"Punca kejadian dipercayai suspek bersama mangsa bergaduh selepas minum minuman keras dan mabuk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, tiga lelaki warga Myanmar dan 10 lelaki warga India berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan, kira-kira jam 8.10 pagi semalam.

Katanya, semua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 14 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Berita Harian X