Sabtu, 8 Mei 2021 | 4:52pm
Sebahagian daripada pemuda bermotosikal yang ditahan polis dalam serbuan di Dungun, awal pagi tadi
Sebahagian daripada pemuda bermotosikal yang ditahan polis dalam serbuan di Dungun, awal pagi tadi

52 kena tolak motosikal empat kilometer

KUALA TERENGGANU: Hajat sekumpulan 'mat motor' berkumpul menyaksikan aksi lumba haram di Jalan Yahya Ahmad dekat Dungun, terbantut apabila laluan berkenaan diserbu polis awal pagi tadi.

Dalam Ops Samseng Jalanan bermula jam 11 malam hingga 10 pagi tadi, seramai 52 mat motor termasuk tiga yang berlumba, berusia antara 16 hingga 26 tahun ditahan.

Malah, ada di antara mereka yang menjadi penonton bertempiaran lari meninggalkan motosikal masing-masing bagi mengelak dicekup.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Abd Razak Hasan, berkata pihaknya terlebih dahulu melakukan pemantauan terhadap kawasan berkenaan kira-kira jam 11 malam tadi, yang sering menjadi lokasi kumpulan mat rempit menguji kehebatan motosikal masing-masing.

"Sekumpulan penunggang motosikal mula memasuki kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi sebelum tiga daripadanya melakukan aksi berbahaya iaitu 'zig-zag' dan berlumba sesama sendiri.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan ini cuba meloloskan diri dan kita berjaya menahan seramai 52 lelaki dan menyita 62 buah motosikal termasuk 19 motosikal yang ditinggalkan di tepi jalan selepas pemiliknya melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati dua daripada tiga lelaki yang berlumba dan membuat aksi berbahaya adalah pelajar Tingkatan Lima dengan seorang daripadanya dikesan mula terbabit dengan kegiatan merempit sejak berusia 13 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Razak berkata, semua yang ditahan diarahkan menolak motosikal masing-masing dari Jalan Yahya Ahmad ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun membabitkan jarak sejauh empat kilometer untuk siasatan lanjut.

Katanya, tiga lelaki yang menunggang motosikal dengan aksi 'superman' dan berlumba ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala selebihnya yang menjadi penonton ditahan mengikut Seksyen 81(2) akta sama.

"Selain itu, seorang lelaki yang menjadi penonton turut positif dadah jenis methamphetamine.

"Dalam operasi ini, 125 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti ubah suai ekzos, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran, ubah suai aksesori, brek tidak berfungsi, tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans," katanya.

Berita Harian X