Sabtu, 8 Mei 2021 | 12:26am
- Foto Bomba Pahang
- Foto Bomba Pahang

Dua beranak maut dalam kemalangan di LPT

KUANTAN: Seorang anggota tentera dan anak lelakinya maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di KM137.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuantan di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata Mohamad Kausa Mustafa, 36, dan anaknya, Muhammad Ridwan berusia lima tahun meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 1.50 tengah hari itu.

Beliau berkata, isteri mangsa, Ainul Yaqin Mokhtar, 31, dan dua lagi anak mereka, Nursyuhada, 8, serta Nur Sakinah berusia enam hari yang turut berada dalam kereta Perodua Viva itu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Temerloh.

- Foto Bomba Pahang
- Foto Bomba Pahang

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki Mohamad Kausa sekeluarga dikatakan membuat brek secara mengejut dan menyebabkan pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.

"Pelanggaran ini menyebabkan kenderaan Mohamad Kausa terbabas ke sebelah kiri jalan dan kereta itu mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kamarulzaman berkata, pemandu Toyota Hilux berusia 21 tahun serta penumpangnya berusia 46 tahun selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. – BERNAMA

Berita Harian X