Khamis, 6 Mei 2021 | 10:51pm
Empat lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan susulan disyaki samun membabitkan seorang warga Nepal di kawasan Gelang Patah dan Mutiara Rini, Iskandar Puteri. - Foto ihsan Polis Johor
Empat lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan susulan disyaki samun membabitkan seorang warga Nepal di kawasan Gelang Patah dan Mutiara Rini, Iskandar Puteri. - Foto ihsan Polis Johor

Konstabel antara ditahan disyaki menyamun

ISKANDAR PUTERI: Empat lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan susulan disyaki menyamun seorang warga Nepal di kawasan Gelang Patah dan Mutiara Rini, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata bertindak atas maklumat, kira-kira jam 12.10 malam, sepasukan polis daerah Iskandar Puteri menahan semua suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Katanya, suspek konstabel polis berusia 23 tahun itu ditahan bersama tiga yang lain bekerja sebagai buruh binaan, pemandu bas dan pemandu lori tunda.

"Hasil siasatan awal mendapati, seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala yang lain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Kita turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua kunci kereta serta alat kawalan jauh, kad bank, kad kuasa polis, sepasang gari tangan, topi 'baseball', pelitup muka bercorak warna hitam, selain sebuah kereta Toyota Vios dan kereta Honda City.

"Siasatan lanjut masih dijalankan, selain polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan ini, ia dapat menyelesaikan beberapa lagi kes samun berkumpulan yang berlaku sepanjang bulan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Katanya, semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 9 Mei ini.

Berita Harian X