Rabu, 5 Mei 2021 | 10:13pm

2 kemalangan maut, polis mohon saksi bebas tampil

PETALING JAYA: Polis memohon bantuan saksi awam tampil membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan dua penghantar makanan, dalam dua kejadian berasingan bulan lalu dan kelmarin.

Kemalangan pertama berlaku di Kilometer (KM) 2.5 Lebuhraya SPRINT hala ke ibu negara kira-kira jam 2.35 petang pada 14 April lalu membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah pacuan empat roda.

Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal, K Vickneshwaran, 24, yang bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood maut di tempat kejadian selepas merempuh belakang pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal.

"Ketika kejadian, pemandu pacuan empat roda dipandu seorang wanita berusia 54 tahun berada di lorong tengah lebuh raya yang mempunyai tiga lorong dan trafik pada masa itu sesak, menyebabkan kenderaan bergerak perlahan.

"Mangsa yang menunggang Honda Future secara tiba-tiba merempuh belakang Mitsubishi Triton yang dalam perjalanan dari Damansara ke Cheras," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Vickneshwaran yang menetap di Taman Maluri, Cheras parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, kemalangan kedua berlaku kelmarin di Jalan Templer menghala ke Jalan Klang Lama berdekatan Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz membabitkan sebuah motosikal dengan PERODUA Viva, kira-kira jam 9.50 malam.

Mangsa, Syamsul Bahari Mustaffa, 38, dari Flat PKNS PJS 8/14 di sini yang menunggang Honda EX5 Dream maut, manakala pemandu kereta, seorang lelaki warga Algeria berusia 30 tahun, terselamat.

Azman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan juga dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang tiba-tiba menukar lorong dari kiri ke kanan untuk masuk ke Jalan Kawasan Melayu 3/60 yang berada di sebelah kanan jalan.

"PERODUA Viva tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal terbabit sebelum hilang kawalan dan terbalik, manakala penunggang motosikal tercampak di lorong tengah laluan tiga lorong itu.

"Penunggang motosikal yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan GrabFood disahkan maut di tempat kejadian dan pemandu PERODUA Viva cedera pada siku kiri serta kanan," katanya.

Beliau berkata, siasatan punca sebenar kedua-dua kemalangan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi bebas yang melihat dua kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Al-Rassid Borhanuddin di talian 019-9905570 untuk menyalurkan maklumat," katanya.

Berita Harian X