Rabu, 5 Mei 2021 | 10:03pm

Bapa, tiga anak lelaki dituduh rogol, liwat anak sendiri

MELAKA: Seorang bapa bersama tiga anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan merogol, meliwat serta memukul anak perempuannya.

Tertuduh yang berusia 51 tahun itu berdepan 35 pertuduhan iaitu 33 pertuduhan kerana merogol dan dua pertuduhan mencabul serta memukul mangsa yang juga anak kandungnya.

Tiga lagi tertuduh berusia 23, 27 dan 29 tahun pula didakwa atas 17 pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat adik mereka itu.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kandung mangsa didakwa merogol, mencabul dan memukul dengan menggunakan paip getah sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 18 tahun.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kesemua tiga abangnya pula didakwa melakukan persetubuhan luar tabii dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, antara 1 Mac 2020 hingga 1 Februari 2021.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari yang tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius selain membabitkan darah daging sendiri.

Hakim kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan selain menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Berita Harian X