Rabu, 5 Mei 2021 | 1:40pm
Seorang lelaki berusia 23 tahun maut susulan melanggar lembu sebelum diseret sejauh 60 meter oleh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Utama FELDA Semenchu, malam tadi. - Foto PDRM
Seorang lelaki berusia 23 tahun maut susulan melanggar lembu sebelum diseret sejauh 60 meter oleh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Utama FELDA Semenchu, malam tadi. - Foto PDRM

Maut langgar lembu

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 23 tahun maut selepas terlanggar lembu sebelum diseret sepanjang 60 meter oleh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Utama FELDA Semenchu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata dalam kejadian jam 8.45 malam, penunggang motosikal, Mazrul Hakimi Miskan, 23, dari FELDA Air Tawar 4, di sini, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal Yamaha 135LC dan kereta Proton Wira.

"Difahamkan, penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi menghala masuk ke FELDA Semenchu, di sini.

"Melepasi kira-kira dua kilometer (km) daripada simpang masuk jalan utama FELDA Semenchu, di sini, dia terlanggar seekor lembu yang secara tiba-tiba melintas jalan. Mangsa kemudiannya terjatuh dan terbaring di jalan bertentangan dan motosikalnya pula terbabas ke bahu jalan bertentangan.

"Kereta Proton Wira yang dipandu berusia 19 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak perasan mangsa yang terbaring (keadaan jalan gelap tanpa lampu) lalu melanggar mangsa dan mengheret kira-kira 60 meter," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hussin berkata, pemandu kereta tidak mengalami apa-apa kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di kawasan gelap bagi mengelak kemalangan kerana malang tidak berbau. Jadilah pemandu yang berhemah dan keselamatan nyawa pengguna jalan raya adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Berita Harian X