Selasa, 4 Mei 2021 | 7:04pm
Lokasi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras di Felda Gunung Bongsu, Kulim, semalam. - Foto IHSAN PDRM
Lokasi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras di Felda Gunung Bongsu, Kulim, semalam. - Foto IHSAN PDRM

Dihanyut arus menjelang waktu berbuka

KULIM: Seorang abang tergamam melihat adik perempuannya yang berusia tiga tahun terjatuh ke dalam parit ketika bermain pada waktu hujan di belakang rumah mereka di Felda Gunung Bongsu di sini, petang semalam.

Muhammad Thaqif Muhammad Nazri, 8, yang gagal menyelamatkan adiknya, Naera Dellisha, 3, bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian kepada bapa mereka, Muhamad Nazri Abu Saman, 36.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, keluarga mangsa sibuk membuat persiapan berbuka puasa.

Mereka bergegas ke tempat kejadian tetapi mendapati mangsa sudah dihanyutkan arus.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata bapa mangsa dan beberapa ahli keluarga terus mencari mangsa di kawasan itu namun tidak menemuinya sebelum memaklumkan kejadian kepada polis pada jam 7.30 malam.

"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit sedalam hampir satu meter dan dibawa arus ke longkang besar sebelum dihanyutkan ke Sungai Dingin, Mahang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pihak bomba sebelum mangsa ditemui kira-kira tiga meter di sungai dalam kawasan Estet Sungai Dingin pada jam 8.40 malam oleh orang awam.

Azhar berkata, operasi disertai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dan lima anggota polis dari Balai Polis Mahang.

"Kejadian disaksikan abang mangsa yang melihat adiknya terjatuh ke dalam parit ketika hujan renyai dan air deras.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih terus dijalankan," katanya.

Berita Harian X