Ahad, 2 Mei 2021 | 4:15pm
Gambar yang tular menunjukkan beberapa artis melanggar SOP kerana tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka ketika hadir majlis berbuka puasa di sebuah hotel, baru-baru ini.
Gambar yang tular menunjukkan beberapa artis melanggar SOP kerana tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka ketika hadir majlis berbuka puasa di sebuah hotel, baru-baru ini.

Polis siasat majlis berbuka puasa langgar SOP dihadiri artis

KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, yang turut dihadiri beberapa artis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan dijalankan selepas didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, majlis itu diadakan pada 29 April lalu dan setakat ini, tiga individu membabitkan penganjur dan seorang daripada pihak pengurusan hotel sudah dipanggil memberi keterangan.

"Siasatan dijalankan selepas penularan gambar menunjukkan majlis berbuka puasa berlangsung dengan kehadiran orang ramai.

"Penelitian ke atas gambar mendapati wujudnya pelanggaran SOP penganjuran majlis sosial PKPB iaitu tiada penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam gambar yang tular di media sosial menunjukkan antara artis yang hadir pada majlis itu adalah penyanyi rap Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz.

Mohamad Zainal berkata, susulan itu, semua mereka yang terbabit akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan dalam masa terdekat.

"Kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan selesai dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 19

Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021," katanya.

Berita Harian X