MUAR: Seorang wanita maut manakala anak perempuannya parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah pikap di persimpangan Jalan Temenggong Ahmad dekat Parit Keroma di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.46 pagi itu, mangsa Norain Abu Samah, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
"Anak mangsa, Nur Nabila Alisha Mohd Zalisham, 19, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zaharudin berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu Gui Chui, 69, dari arah Parit Jawa menghala ke bandar Muar dipandu dengan kelajuan tinggi dan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.
"Akibatnya, pikap terbabit merempuh Perodua Myvi dipandu Norain yang baru bergerak selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau," katanya.
Katanya, akibat kemalangan itu Toyota Hilux berkenaan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar empat lagi kenderaan lain.
"Seramai 14 lagi mangsa yang menaiki empat kenderaan berbeza terselamat tanpa mengalami kecederaan.
"Sampel darah dan air kencing pemandu Toyota Hilux berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk saringan alkohol dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Rakaman video kemalangan terbabit berdurasi 23 saat tular di media sosial pagi tadi menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi dirempuh Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, seramai 13 anggota bomba, satu jentera LFRT, satu jentera EMRS dan dua unit RIM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dihantar ke tempat kejadian.
"Kemalangan membabitkan enam kenderaan iaitu Perodua Myvi, Nissan Grand Lavina, Nissan Urvan, Van Ford Spectron dan dua pikap. Operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.08 pagi," katanya.