Sabtu, 24 April 2021 | 11:07pm
Gambar tular seorang tukang masak yang disyaki memandu secara berbahaya di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Rabu lalu. - Foto ihsan pembaca
Gambar tular seorang tukang masak yang disyaki memandu secara berbahaya di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Rabu lalu. - Foto ihsan pembaca

Tukang masak ditahan memandu secara berbahaya

KLANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 58 tahun kerana disyaki memandu secara berbahaya di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, di sini, Rabu lalu.

Suspek yang bekerja sebagai tukang masak ditahan di Balai Polis Trafik Klang Selatan ketika datang membuat laporan selepas menerima satu rakaman video mengenai insiden itu yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata berdasarkan satu rakaman video berdurasi 17 saat dari sebuah kereta, kelihatan sebuah kereta jenis Honda CRV dipandu secara berbahaya dengan memotong dari arah kiri secara tiba-tiba.

"Rakaman video itu juga memaparkan pemandu kenderaan terbabit turut memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pemandu yang merakam video itu terpaksa menekan brek secara mengejut.

"Susulan itu, polis menahan pemandu kereta terbabit berusia 58 tahun ketika hadir membuat laporan di Balai Polis Trafik, Klang Selatan.

"Pemandu itu juga mendakwa menerima rakaman video terbabit, selain turut mendapat banyak panggilan telefon dan pesanan melalui aplikasi WhatsApp selepas video berkenaan tular," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X