Sabtu, 24 April 2021 | 12:05am

Lelaki ada 58 rekod jenayah kena tahan lagi

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang sudah mempunyai 58 rekod jenayah lampau, termasuk 55 kes penipuan masih tidak serik dan sekali lagi ditahan selepas disyaki menipu dalam urusan jual beli sebuah kenderaan mewah.

Penahanan ke atas suspek dibuat selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 55 tahun yang tidak menerima pembayaran RM90,000 seperti dijanjikan suspek untuk pembelian kereta Jaguar XF miliknya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata urusan penjualan kereta itu dijalankan di rumah mangsa yang juga seorang doktor klinik swasta di Kampung Tunku, di sini, pada Ahad lalu.

"Mangsa menyerahkan kenderaan itu kepada suspek dan menandantangani beberapa surat perjanjian.

"Kira-kira jam 5.30 petang hari sama, suspek menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp bahawa bayaran sebanyak RM90,000 telah dibuat ke akaun mangsa melalui dua transaksi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya selepas membuat semakan, mangsa mendapati tiada sebarang transaksi kemasukan wang ke dalam akaun banknya sebelum membuat aduan kepada pihak polis.

"Hasil siasatan, suspek akhirnya ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, kira-kira jam 1 pagi di Saujana Utama, semalam dan merampas sebuah kereta Jaguar XF.

"Semakan mendapati suspek berusia 42 tahun itu mempunyai 58 rekod jenayah lampau dengan 55 rekod berkaitan kes tipu, dan tiga lagi rekod masing-masing berkaitan kes curi, sengaja menyebabkan cedera dan ugutan jenayah," katanya.

Beliau berkata suspek kini direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X