Selasa, 20 April 2021 | 5:36pm
Kesan cedera dan lebam pada tubuh seorang pembantu rumah warga Indonesia yang menjadi mangsa dera majikan dan rakan sekerjanya sejak lebih setahun lalu sebelum diselamatkan polis, semalam. - Foto PDRM
Kesan cedera dan lebam pada tubuh seorang pembantu rumah warga Indonesia yang menjadi mangsa dera majikan dan rakan sekerjanya sejak lebih setahun lalu sebelum diselamatkan polis, semalam. - Foto PDRM

Polis tahan majikan, rakan sekerja disyaki dera amah

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang majikan kerana disyaki mendera pembantu rumahnya dalam serbuan di Taman Rainbow, Sentul, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis turut menahan rakan sekerja mangsa iaitu seorang wanita warga Indonesia kerana dipercayai bersubahat dengan majikannya, yang juga seorang wanita tempatan, mendera mangsa.

Serbuan dilakukan pasukan Bahagian D3 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 38 tahun dan 42 tahun dipercayai mendera mangsa yang berusia 24 itu sejak lebih setahun lalu.

Katanya, semakan mendapati mangsa sudah bekerja di rumah suspek selama 16 bulan dan sejak setahun lalu, gaji mangsa dikatakan tidak dibayar.

"Pemeriksaan menemui pelbagai kesan kecederaan dan lebam pada muka, kepala, bahu, leher serta kaki dipercayai akibat didera majikan dengan dibantu rakan sekerja mangsa.

"Selain tidak dibayar gaji, mangsa juga disyaki didera secara fizikal jika melakukan kesalahan atau kesilapan ketika menjalankan tugas hariannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, menerusi serbuan itu polis turut merampas pelbagai alatan seperti rotan, kayu dan besi yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

"Perintah perlindungan interim (IPO) daripada mahkamah sudah dimohon dan mangsa kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan wanita di Damansara.

"Kedua-dua suspek direman enam hari hingga 24 April ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 13 ATIPSOM 2007.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 untuk membantu siasatan.

Berita Harian X