Isnin, 19 April 2021 | 6:43pm
Najib di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Najib di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tindakan Najib salahkan orang lain tidak berasas

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, diberitahu tindakan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak menyalahkan individu lain, berhubung penyelewangan yang berlaku di SRC International, adalah keterlaluan.

Sebaliknya, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram menegaskan hanya Najib yang mendapat keuntungan daripada tindakan (penyelewengan) itu.

Katanya tindakan pasukan pembelaan Najib meletakkan kesalahan ke atas orang lain, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil juga tidak berasas.

"Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan Nik Faisal, semua mereka bekerja di bawah individu yang sama, iaitu Najib.

"Azlin, Nik Faisal dan beberapa individu lain antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling dan Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Shamsul Anwar Sulaiman sebahagian daripada rancangan terperinci Najib untuk menipu duit SRC.

Sithambaram, berkata dana berjumlah RM42 juta masuk ke dalam akaun Najib menerusi pelbagai kaedah dan salah satunya adalah menerusi IPSB.

"Namun, tiada bukti yang menunjukkan kesemua individu ini mendapat keuntungan peribadi daripada rancangan ini. Sebaliknya, mereka hanya dijadikan 'cagaran' oleh Najib untuk melaksanakan pemindahan wang RM42 juta dari SRC ke dalam akaun peribadinya," katanya.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Turut bersidang pada pendengaran itu Hakim Datuk Has Zanah Mehat and Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Terdahulu, Sithambaram turut berhujah bahawa Ahli Lembaga Pengarah SRC hanyalah boneka yang melaksanakan arahan Datuk Seri Najib Razak selaku dalang boneka.

Katanya, Najib juga sebenarnya ejen dan Pengarah SRC serta hanya bertindak demi kepentingan peribadinya.

Beliau berkata, SRC tidak menggunakan pinjaman RM4 bilion untuk tujuan sepatutnya, malah tidak mempunyai sebarang bukti bagi mengesahkan penggunaannya.

Sithambaram tiba di mahkamah bagi kes rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap Najib di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Sithambaram tiba di mahkamah bagi kes rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap Najib di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

"Keterangan oleh saksi ke-45 pendakwaan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah juga menyatakan tidak sebarang projek berjaya dilaksanakan oleh SRC menggunakan pinjaman berkenaan.

"Sebaliknya, duit itu (RM4 bilion) terus lenyap," katanya.

Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib, 67, dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu rayuan kes itu selesai.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X