Isnin, 19 April 2021 | 1:38pm
Najib hadir bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Najib hadir bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Najib kawal Ahli Lembaga Pengarah SRC

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, diberitahu Ahli Lembaga Pengarah SRC hanyalah boneka yang melaksanakan arahan Datuk Seri Najib Razak, selaku tuan boneka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berhujah Najib juga sebenarnya ejen dan Pengarah SRC serta hanya bertindak demi kepentingan peribadinya.

"Dalam mana-mana syarikat, ahli lembaga pengarah dilantik untuk menguruskan hal ehwal syarikat yang akan bertindak demi kepentingan syarikat.

"Bagaimanapun dalam SRC, situasinya terbalik iaitu pemegang saham mengarahkan ahli lembaga pengarah berhubung aspek perniagaan dan operasi syarikat menerusi minit mesyuarat pemegang amanah," katanya.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara, atas tuduhan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Sithambaram turut berhujah bahawa Najib mempunyai kedudukan yang unik di SRC sejak penubuhannya, sehingga ia ditukarkan sebagai syarikat bawah Menteri Kewangan Diperbadan (MOF Inc).

Sithambaram tiba bagi kes rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Sithambaram tiba bagi kes rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Katanya, perkara itu jelas menunjukkan Najib bukan bertindak atas kapasiti rasmi, iaitu sebagai mekanisma kerajaan.

"Sebaliknya, pengendalian dan penguasaan Najib ke atas SRC terbukti berdasarkan fakta beliau bertindak atas namanya sendiri dan bukan atas nama prinsipal.

"Beliau juga menandatangani semua arahan pemegang amanah yang kemudiannya dilaksanakan oleh Ahli Lembaga Pengarah SRC," katanya.

Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta, milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun Najib, 67, dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu rayuan kes itu selesai.

Perbicaraan bersambung.

Berita Harian X