Ahad, 18 April 2021 | 11:58pm
Polis Daerah Kajang sedang mengesan Yuen Wai Lam bagi membantu siasatan kes gaduh di Batu 9 Cheras, 9 April lalu. FOTO PDRM
Polis Daerah Kajang sedang mengesan Yuen Wai Lam bagi membantu siasatan kes gaduh di Batu 9 Cheras, 9 April lalu. FOTO PDRM

Polis cari lelaki bantu siasat kes gaduh

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Damai Perdana, Batu 9 Cheras, dekat Kajang pada 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata lelaki terbabit dikenali sebagai Yuen Wai Lam, 26, beralamat di No 3, Jalan Penghulu 12/3, Bandar Mahkota Cheras, Batu 9 Cheras.

Katanya, Wai Lam dicari bagi membantu siasatan seorang lelaki dipukul 10 lelaki menggunakan botol kaca dan kerusi plastik restoran berkenaan.

"Susulan itu, mangsa luka pada kepala serta lebam tangan dan badan. Sebelum ini, polis menahan empat lelaki disyaki terbabit kes sama.

"Kini seorang lagi individu dikenal pasti bagi membantu siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, video berdurasi 30 saat tular di media sosial memaparkan beberapa lelaki bergaduh dengan membaling dan merosakkan kerusi restoran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun ditangkap pada hari kejadian, dipercayai terbabit pergaduhan menyebabkan seorang lelaki berusia 27 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Mohd Zaid berkata, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730.

Berita Harian X