Ahad, 18 April 2021 | 6:49pm
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta di Taman Bukit Indah, awal pagi tadi. - Foto Bomba Johor
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta di Taman Bukit Indah, awal pagi tadi. - Foto Bomba Johor

Penghuni lama berhutang, keluarga baharu jadi mangsa

JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga yang baru setahun mendiami rumah di Taman Bukit Indah di sini trauma selepas kenderaan mereka dibakar individu misteri dipercayai ahli kumpulan ceti haram.

Dalam kejadian awal pagi tadi, keluarga terbabit turut menerima nota berunsur ugutan diletakkan di kawasan rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu mempunyai unsur jenayah kerana penghuni rumah turut menerima nota ugutan daripada pelaku.

"Penghuni baharu yang mendiami rumah itu sejak setahun lalu mendakwa bebas daripada hutang ceti haram.

"Dipercayai penghuni lama pernah berhutang dengan ceti haram sehingga penghuni baharu menjadi sasaran.

"Satu nota ditemui di tempat kejadian dan kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, kereta keluarga berkenaan yang diletakkan di garaj sebuah kediaman di Jalan Indah, Taman Bukit Indah, musnah 50 peratus akibat terbakar.

Berita Harian X