Ahad, 18 April 2021 | 2:34pm

Harta suspek pukul pengawal peribadi akan disita

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses menyita harta suspek utama yang terbabit dalam kes memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata, pihak Bukit Aman menjalankan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

"Siasatan masih berjalan manakala lima suspek kini dalam tahanan, dengan suspek utama direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

"Saya difahamkan polis dalam proses menyita harta suspek utama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Arjunaidi berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada suspek terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

Setakat ini, katanya, tiada bukti mereka terbabit dengan kegiatan itu tetapi siasat diteruskan.

Terdahulu, perintah reman ke atas suspek berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret Klang, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK ugutan, Seksyen 298 KK menghina Islam dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.

Suspek utama kes pukul dan ugut bunuh dua pengawal peribadi kerana berpuasa (tengah) direman lima hari di Mahkamah Klang, pagi tadi. - Foto BERNAMA
Suspek utama kes pukul dan ugut bunuh dua pengawal peribadi kerana berpuasa (tengah) direman lima hari di Mahkamah Klang, pagi tadi. - Foto BERNAMA
Berita Harian X