Jumaat, 16 April 2021 | 9:57pm

5 remaja ditahan kes pukul pelajar

JOHOR BAHRU: Lima remaja berusia 15 hingga 17 tahun ditahan polis selepas dikatakan terbabit mencederakan seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah dekat Taman Daya di sini, 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kejadian berlaku kerana seorang daripada remaja terbabit menyangka pelajar terbabit menyindir adik saudaranya.

Katanya, seorang suspek bersama empat rakannya bertindak menyerang mangsa dengan memukulnya beberapa kali pada bahagian muka mangsa.

"Kelima-lima suspek ditahan hari ini. Mengikut laporan polis dibuat di Balai Polis Setia Indah, mangsa mengadu dipukul lima lelaki tidak dikenali ketika sedang berbual dengan rakannya di hadapan sekolah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, satu video berdurasi kira-kira dua minit memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial hari ini.

Berdasarkan video berkenaan, seorang lelaki memakai baju merah dan bercermin mata didapati menghampiri pelajar lelaki beruniform sekolah sebelum menampar muka mangsa berulang kali.

Berita Harian X