Jumaat, 16 April 2021 | 4:15pm
Bagi pertuduhan kedua, Selvendran didakwa bersama rakan yang masih bebas dengan niat menakut-nakutkan mangsa. - Foto hiasan NSTP
Bagi pertuduhan kedua, Selvendran didakwa bersama rakan yang masih bebas dengan niat menakut-nakutkan mangsa. - Foto hiasan NSTP

Pengurus restoran didakwa cederakan warga India

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus restoran di Klang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan iaitu mengurung, menakutkan dan mencederakan seorang lelaki warganegara India, Selasa lalu.

Bagaimanapun, B Selvendran, 33, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret S Mageswary.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama rakan yang masih bebas, menggunakan kekerasan memaksa warganegara India, Balamurugan Selvam sehingga menyebabkan mangsa dikurung dalam kediaman di Bandar Bukit Tinggi, Klang tanpa kerelaan mangsa, mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Selvendran didakwa bersama rakan yang masih bebas dengan niat menakutkan mangsa sama dengan mengatakan akan membunuh lelaki itu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa bersama rakan yang masih bebas, dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dengan menumbuk pada bahagian badannya.

Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini pada 2.45 petang, 13 April lalu.

Peguam Mishant Thiruchelvam yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan bapanya sedang menerima rawatan di hospital kerana sakit jantung.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan dan tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes, bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video kamera litar tertutup dengan tempoh 19 saat, memaparkan tindakan beberapa individu bertindak menarik keluar dua lelaki warga India secara paksa, dari dalam sebuah restoran di ibu kota. – BERNAMA

Berita Harian X