Khamis, 15 April 2021 | 6:51pm

Penunggang Grab Food maut dihempap pokok

KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh kes pokok tumbang dilaporkan di sekitar bandar raya ini petang tadi, termasuk satu kes mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal lelaki yang juga penghantar makanan Grab Food, di Alam Damai, Taman Len Seng, Cheras, di sini.

Kejadian pokok tumbang dilaporkan akibat hujan lebat di beberapa lokasi sekitar ibu negara sejak jam 4 .15 petang.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata kejadian pokok tumbang turut mengakibatkan tiga wanita yang berada dalam kenderaan terselamat.

"Lokasi lain kejadian pokok tumbang adalah di Seksyen 2, Wangsa Maju; Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam; Kampung Padang Merbuk; Jalan Melati, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)-Hulu Klang; kawasan berhampiran Wisma Tani, Jalan Bukit Tunku dan Jalan Tijani, Bukit Tunku.

"Sejak jam 4.30 petang tadi sehingga jam 6 petang, pihak bomba melakukan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang seterusnya memastikan setiap kawasan dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak tujuh kes pokok tumbang dilaporkan di sekitar bandar raya ini petang tadi. - Foto BOMBA
Sebanyak tujuh kes pokok tumbang dilaporkan di sekitar bandar raya ini petang tadi. - Foto BOMBA

Menurut kenyataan itu lagi, ada antara pokok tumbang yang menghalang lalu-lintas sehingga menyebabkan kesesakan.

Katanya, antara Balai Bomba Penyelamat (BBP) yang terbabit dalam operasi menyelamat ini adalah BBP Cheras, BBP Wangsa Maju, BBP Pantai, BBP Seputeh, BBP Sentul, BBP Gombak Selatan, BBP Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas.

Sementara itu dalam kejadian di Alam Damai, Taman Len Seng, Cheras, di sini, seorang penghantar makanan berusia 20 tahun maut selepas dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat.

Lelaki berusia 20 tahun itu diangkat oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke stesen minyak Petronas Alam Damai.

Tujuh kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat yang berlaku sejak jam 4.15 petang, dikesan berlaku sekitar ibu negara. Seorang penghantar makanan Grab Food, berusia 20 tahun turut terkorban selepas dihempap pokok di Alam Damai, Taman Len Seng, Cheras. - Foto Bomba

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, yang menerima maklumat mengenai kejadian itu mengerahkan sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat Cheras ke lokasi kejadian pada jam 4.19 petang.

"Sebaik tiba di lokasi pada jam 4.28 petang, pasukan bomba diketuai Zaimi Mat Yusuf Ahmad bersama lima anggota melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

"Pada masa sama, pasukan bomba turut memotong dan mengalihkan pokok tumbang seterusnya memastikan kawasan dalam keadaan selamat," katanya.

Terdahulu tular video dan gambar mangsa dibawa oleh orang ramai dalam keadaan hujan lebat ke arah Petronas sebelum dibaringkan di perkarangan stesen minyak.

Tujuh kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat yang berlaku sejak jam 4.15 petang, dikesan berlaku sekitar ibu negara. Seorang penghantar makanan Grab Food, berusia 20 tahun turut terkorban selepas dihempap pokok di Alam Damai, Taman Len Seng, Cheras. - Foto Bomba
Tujuh kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat yang berlaku sejak jam 4.15 petang, dikesan berlaku sekitar ibu negara. Seorang penghantar makanan Grab Food, berusia 20 tahun turut terkorban selepas dihempap pokok di Alam Damai, Taman Len Seng, Cheras. - Foto Bomba

Seorang penghantar makanan maut selepas dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat di Taman Len Seng, Cheras, Kuala Lumpur, petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca
Seorang penghantar makanan maut selepas dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat di Taman Len Seng, Cheras, Kuala Lumpur, petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca
Berita Harian X