Selasa, 13 April 2021 | 11:47am
Antara sayur-sayuran dan buah-buahan dari Thailand yang dirampas MAQIS Perlis, Khamis lalu. - Foto ihsan MAQIS Perlis
Antara sayur-sayuran dan buah-buahan dari Thailand yang dirampas MAQIS Perlis, Khamis lalu. - Foto ihsan MAQIS Perlis

410kg sayur, buah dari Thailand dirampas

PADANG BESAR: Sejumlah 410 kilogram (kg) sayur-sayuran dan buah-buahan dari Thailand, dirampas kerana disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import sah.

Produk dianggarkan bernilai RM3,120 itu dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis, kira-kira jam 6 petang Khamis lalu.

Pengarah MAQIS Perlis, Mohamad Arshad Raffin, berkata terdahulu anggota bertugas menahan sebuah lori dengan nombor pendaftaran negara jiran di Unit Kargo, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar, di sini.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kacang tanah, buah mangga, ubi keladi dan ubi kemili seberat 410kg dianggarkan bernilai RM3,120.

"Namun, kita mendapati segala bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan itu disyaki tidak mempunyai permit import yang sah.

"Susulan itu, kita merampas bekalan terbabit untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau menegaskan, MAQIS sentiasa komited melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, keluaran pertanian dan perikanan serta mikroorganisma yang diimport ke negara ini, bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, selain mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan.

Berita Harian X