Isnin, 12 April 2021 | 5:23pm
Keadaan Toyota Avanza dinaiki tiga warga Myanmar yang merempuh belakang sebuah lori di KM310.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, pagi tadi yang menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala dua lagiparah. NSTP/Ihsan Bomba
Keadaan Toyota Avanza dinaiki tiga warga Myanmar yang merempuh belakang sebuah lori di KM310.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, pagi tadi yang menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala dua lagiparah. NSTP/Ihsan Bomba

Terlelap punca nahas babitkan dua warga Myanmar

KAMPAR: Pemandu Toyota Avanza yang merempuh belakang lori di Kilometer 310.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi, sehingga menyebabkan kematian seorang penumpangnya yang juga rakan senegara, warga Myanmar, dipercayai terlelap sejurus sebelum nahas.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata bagaimanapun pihaknya akan menghantar sampel darah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu serta mangsa yang maut, Kyauk Khae, 42, ke Jabatan Kimia untuk mengesan jika terdapat kandungan dadah serta alkohol dalam badan mereka.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati Toyota Avanza yang dipandu lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bagi urusan membabitkan Kedutaan Myanmar di Malaysia.

"Setiba di tempat kejadian, pemandu MPV itu dipercayai tertidur, seterusnya hilang kawalan sebelum terlanggar belakang lori terbabit.

"Ini mengakibatkan rakan senegara berusia 42 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu MPV bagaimanapun hanya cedera pada kepala dan dada manakala seorang lagi penumpang, lelaki tempatan berusia 29 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang MPV itu, tidak cedera.

Katanya, mayat dihantar ke unit forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat jam 2 petang tadi bagi mengetahui punca kematian selain penumpang yang cedera turut dihantar untuk rawatan di hospital sama.

Hasron Nazri berkata, kedua-dua warga Myanmar terbabit bekerja di sebuah kilang plastik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang manakala penumpang warga tempatan yang tidak cedera berasal dari Klebang Restu, Ipoh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pagi tadi, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 6.01 pagi.

Jurucakap itu turut memaklumkan mangsa yang terbabit dalam insiden itu adalah tiga warga Myanmar yang mana seorang daripadanya maut, manakala dua lagi parah.

Berita Harian X