Isnin, 5 April 2021 | 8:15pm
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab Hamid (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) yang dihadapinya hari ini. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir bersambung esok. - foto BERNAMA
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab Hamid (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) yang dihadapinya hari ini. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir bersambung esok. - foto BERNAMA

6 jam tangan mewah RM142,410 dibeli tunai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab Hamid diberitahu bahawa enam utas jam tangan jenama Omega pelbagai model dibeli oleh seorang individu di sebuah kedai menjual jam tangan mewah di Pavilion, tiga tahun lalu.

Perunding jualan di premis berkenaan, Chua Sook Shin @ Miss Juraiporn Chua, 29, berkata keenam-enam jam tangan itu berharga dalam lingkungan RM20,000 hingga RM40,000 seutas dan telah dibayar secara tunai oleh seorang individu yang berjumlah RM142,410.

"Pada 3 Mei 2018, saya bertugas dari jam 10 pagi hingga 10 malam di premis itu. Selain saya, turut bertugas pada hari itu adalah rakan sekerja saya bernama Jowy Kong Kim Kee (Jowy). Kira-kira 12 tengah hari, empat orang pelanggan lelaki masuk dalam kedai dan bertanyakan mengenai beberapa jenis jam tangan jenama Omega.

"Saya kemudian membantu Jowy untuk melayan keempat-empat lelaki itu dan selepas diterangkan oleh Jowy, mereka telah memilih enam utas jam tangan itu dan seorang daripada mereka telah membuat pembayaran keseluruhan secara tunai berjumlah RM142,410," kata saksi pendakwaan kelima itu ketika membacakan penyataan saksinya semalam di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Pada 6 Oktober tahun lalu, dalam ucapan pembukaan kes pada hari pertama perbicaraan itu pihak pendakwaan akan membuktikan Hasanah telah melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) dengan sebahagiannya digunakan bagi pembelian enam utas jam tangan mewah sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia.

Chua berkata, beliau telah menguruskan dan menerima pembayaran bagi pembelian keenam-enam utas jam tangan itu serta merekodkan butiran berkenaan dengan model jam tangan yang dibeli berserta harga dalam sistem, Point of sales (POS).

"Saya kemudian mengeluarkan enam invois untuk keenam-enam utas jam tangan berkenaan. Saya juga mengeluarkan satu borang, Customer Relationship Management Form kepada pembeli dan tujuan borang ini diberikan untuk menyimpan data pelanggan yang membeli jam dari kedai kami," katanya.

Bagaimanapun, wanita itu berkata beliau tidak dapat mengecam keempat-empat individu yang datang membeli jam tangan itu kerana ia sudah lama berlaku.

Model jam tangan yang dibeli ialah Omega Seamaster Aqua Terra, Omega Seamaster Diver 300, Omega Speedmaster Moonwatch dan Omega Constellation Ladies.

Saksi pendakwaan itu berkata pada November 2018, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke kedai jam tangan dan bertanyakan butiran pembelian keenam-enam utas jam tangan berkenaan.

"Saya membuat semakan dalam sistem POS dan mengesahkan pembelian keenam-enam utas jam tangan itu dari kedai kami. Saya juga telah mencetak salinan invois yang telah dikeluarkan untuk pembelian jam berkenaan untuk diserahkan kepada pihak SPRM," katanya.

Sementara itu, pegawai di Etihad Airway, Emi Azura Samsudin, 41, memberitahu mahkamah bahawa wanita bernama `Hasanah' telah membuat penerbangan ke Abu Dhabi bersama dua individu pada 8 April 2018 dan ketiga-tiganya pulang ke tanah air pada 10 April 2018.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir bersambung hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X