Jumaat, 2 April 2021 | 7:23pm

Kilang didenda RM100,000 keluar habuk tanpa kawalan

KLANG: Sebuah kilang di Jalan Bukit Kapar Kuari, di sini, didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini, atas kesalahan membabitkan pengeluaran habuk tanpa kawalan daripada aktiviti pembuatan premix bitumen.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata Hakim Ariffin Razali menjatuhi denda itu terhadap kilang berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS).

Katanya, syarikat terbabit yang diwakili pengarahnya, mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan.

Beliau berkata, OKS didakwa melakukan semua kesalahan terbabit pada 5 November 2019 mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

"Menurut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis berkenaan pemasangan sistem kawalan pencemaran udara mengikut Peraturan 5(1)(b).

"Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didakwa gagal mengendalikan sistem kawalan pencemaran udara dan memastikannya berfungsi dengan baik seperti dinyatakan mengikut Peraturan 7(3).

"Menurut pertuduhan ketiga, pihak premis didakwa gagal memastikan sistem kawalan pencemaran udara diselia oleh orang yang berwibawa mengikut Peraturan 7(4).

"Bagi pertuduhan terakhir, pihak premis didakwa gagal menjalankan pemantauan prestasi sistem kawalan pencemaran seperti diperuntukkan mengikut Peraturan 9(b)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nor Aziah berkata, JAS Selangor akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai kegiatan mencemarkan alam sekitar.

"Saya menyeru orang awam melaporkan sebarang kegiatan mencemarkan alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam, e-mel ke: aduan_k@doe.gov.my atau melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Berita Harian X