X
Jumaat, 2 April 2021 | 12:06pm
Seorang bayi perempuan berusia 14 hari bersama ibu kandungnya maut selepas PROTON Saga dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak terbabas di Jalan Ampang, Ampang malam tadi - Ihsan Polis
Seorang bayi perempuan berusia 14 hari bersama ibu kandungnya maut selepas PROTON Saga dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak terbabas di Jalan Ampang, Ampang malam tadi - Ihsan Polis

Bayi berusia 14 hari, ibu maut dalam kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 14 hari bersama ibunya maut selepas kereta yang dinaiki empat sekeluarga kemalangan di Jalan Ampang, Ampang dekat sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10 malam itu, bayi berkenaan dipercayai tercampak keluar selepas kereta jenis PROTON Saga yang dalam perjalanan dari arah Ampang ke Lembah Jaya hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata selepas melanggar pembahagi jalan, kereta berkenaan kemudian masuk ke laluan bertentangan.

"Isteri pemandu, wanita warga Indonesia berusia 28 tahun disahkan maut ditempat kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.

"Bayi perempuannya yang berusia 14 hari tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, seorang lagi anak pasangan terbabit iaitu kanak-kanak lelaki berumur empat tahun mengalami cedera parah dan bapanya yang berusia 34 tahun hanya cedera ringan.

"Dua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang dan dilaporkan stabil.

"Kita mohon saksi bebas untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012 4401093.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X